Siaran Media

Tarikh: 
16-06-2015
Fakta-fakta berkaitan dengan tulisan blog bertajuk “More Investments by 1MDB” oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad
Fakta-fakta berkaitan dengan tulisan blog bertajuk “More Investments by 1MDB” oleh Tun Dr. Mahathir

Fakta-fakta berkaitan dengan tulisan blog bertajuk “More Investments by 1MDB” oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad

1. Tun Mahathir mendakwa bahawa “PetroSaudi tidak membayar satu sen pun” di dalam usahasama dengan 1MDB.

  • PetroSaudi, melalui anak syarikatnya, memiliki aset yang merangkumi hak ke atas kawasan carigali minyak di Turkmenistan dan Argentina, yang bernilai kira-kira USD2.7 bilion.  Aset-aset ini dijual oleh PetroSaudi kepada sebuah anak syarikat lain, iaitu “JV Co”, yang mana ketika penjualan aset tersebut berlaku, merupakan syarikat yang ditubuhkan dan pada mulanya dimiliki penuh oleh PetroSaudi bagi tujuan cadangan usahasama dengan 1MDB.
  • Sebagai balasan kepada pemindahan aset bernilai USD2.7 bilion, JV Co perlu membayar PetroSaudi USD700 juta. Keberhutangan (indebtedness) ini merupakan hasil daripada pemindahan aset tersebut.  Dengan itu, tiada sebarang pinjaman telah dibuat atau “perlu diselesaikan”.  
  • Pada 29 September 2009, 1MDB telah menandatangani perjanjian usahasama dengan PetroSaudi.  Setelah selesai proses penilaian bebas, 1MDB menyumbang sebanyak USD1 bilion dalam bentuk tunai untuk hak milik sebanyak 40% di dalam JV Co, dan PetroSaudi mempunyai baki pegangan sebanyak 60% di dalam JV Co.  Secara ringkasnya, sumbangan 1MDB adalah dalam bentuk tunai manakala sumbangan PetroSaudi pula dalam bentuk aset yang telah dinilai secara bebas bernilai USD2.7 bilion.      
  • Sebagai sebahagian daripada perjanjian usahasama tersebut, USD700 juta daripada USD1 bilion yang disumbangkan oleh 1MDB akan digunakan untuk membuat pembayaran kepada PetroSaudi bagi pemindahan aset awal kepada JV Co (rujuk di atas) manakala USD300 juta lagi akan kekal di dalam JV Co.  Setelah berpuas hati dengan penilaian bebas, sepertimana perjanjian usahasama, 1MDB membuat bayaran USD700 juta kepada anak syarikat PetroSaudi, dan mendapat hakmilik secara sah kepada 40% saham di dalam JV Co, sebuah syarikat yang mempunyai aset yang dinilai secara bebas berjumlah USD2.7 bilion ketika itu.   
  • PetroSaudi mempunyai hak milik penuh ke atas USD700 juta yang dibayar oleh 1MDB dan dana ini adalah untuk kegunaan PetroSaudi mengikut budi bicara mereka.

 

2. Tun Mahathir mendakwa: “tiba-tiba USD300 juta daripada bayaran 1MDB itu ditukarkan menjadi pinjaman Murabaha”. Beliau turut mendakwa “Kita tidak tahu di mana wangnya”.

  • Usahasama dengan PetroSaudi telah ditamatkan pada Mac 2010, dengan PetroSaudi memperolehi kembali 100% hak milik ke atas JV Co.  1MDB menukar ekuiti USD1 bilion miliknya di dalam JV Co tersebut kepada nota murabaha yang diterbitkan oleh JV Co, di bawah terma-terma Perjanjian Pinjaman Murabaha.  PetroSaudi, sebagai pemilik mutlak JV Co, memberi jaminan sepenuhnya ke atas tanggungan JV Co bagi nota murabaha tersebut.    
  • 1MDB kemudiannya membuat pelaburan seterusnya iaitu tambahan sebanyak USD500 juta dan USD300 juta dalam nota murabaha yang diterbitkan oleh JV Co.
  • Secara totalnya, 1MDB melabur sebanyak USD1.83 bilion wang tunai di dalam nota murabaha yang diterbitkan oleh JV Co, sebuah syarikat yang pada ketika itu telah kembali menjadi hak milik penuh PetroSaudi berikutan penamatan perjanjian usahasama pada Mac 2010.
  • Pada Jun 2012, keseluruhan jumlah USD1.83 bilion yang dilaburkan oleh 1MDB dalam nota murabaha telah dibayar semula, melalui penukaran kepada saham di dalam PetroSaudi Oil Services Limited, yang bernilai USD2.2 bilion.
  • Pada September 2012, 1MDB menjual sahamnya di dalam PetroSaudi Oil Services Limited pada harga USD2.318 bilion dan memperolehi unit dana di dalam sebuah dana yang didaftarkan di Cayman.  Dana yang didaftarkan di Cayman tersebut diuruskan oleh Bridge Partners, sebuah syarikat pengurusan dana berpengkalan di Hong Kong.  Unit-unit dana ini dimiliki oleh 1MDB melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Brazen Sky, dan dipegang melalui BSI Bank Singapore yang bertindak  sebagai penjaga (custodian).
  • 1MDB melabur sebanyak USD1.83 bilion dengan PetroSaudi (pada mulanya dalam ekuiti, kemudiannya dengan nota murabaha), dan akhirnya memiliki USD2.318 bilion unit dana, iaitu keuntungan sebanyak USD488 juta dalam jangkamasa tersebut.
  • Fakta yang dinyatakan di atas boleh disahkan melalui rujukan ke atas nota kepada penyata kewangan diaudit 1MDB bertarikh 31.03.2010, 31.03.2011, 31.03.2012, 31.03.2013 dan 31.03.2014.


3. Tun Mahathir telah membuat kenyataan: “Arul Kanda berkata beliau telah melihat sendiri wang tunai di situ dan Perdana Menteri berkata wang tersebut ada di sana. Ia tidak dibawa pulang kerana Bank Negara akan bertanya pelbagai soalan. Tetapi mengikut undang-undang Bank Negara perlu mendapat kebenaran Menteri untuk meluluskan atau tidak sesuatu transaksi itu. Dan Menteri pula adalah ketua 1MDB. Jadi apa yang begitu sukar untuk mendapatkan kelulusan Bank Negara?”

  • Di sebalik dakwaan-dakwaan Tun Mahathir, faktanya adalah Arul Kanda tidak pernah mengatakan bahawa beliau pernah “melihat wang tunai” tersebut.  Beliau telah membuat kenyataan umum bahawa beliau pernah “melihat penyata tersebut”, merujuk kepada hak milik dan penebusan unit dana.
  • Tun Mahathir mengulangi di dalam tulisan blog beliau jawapan asal Kementerian Kewangan di Parlimen, tetapi telah memilih untuk tidak mempedulikan jawapan yang telah dipinda oleh Kementerian Kewangan dan penjelasan yang dikeluarkan oleh Arul Kanda pada 10 Jun 2015.  
  • Memang terdapat salah faham dalam maklumat yang diberikan oleh 1MDB kepada Kementerian Kewangan yang memerlukan pindaan kepada jawapan asal Parlimen.  Perkara ini telah pun menjadi pengetahuan umum dan telah pun diakui oleh 1MDB. 
  • Sebagai Presiden syarikat ini, Arul Kanda bertanggungjawab sepenuhnya ke atas salah faham ini dan akan memastikan komunikasi yang lebih baik dengan kesemua pihak yang berkepentingan.  Selanjutnya, sepertimana yang telah diperjelaskan oleh Kementerian Kewangan, langkah-langkah sewajarnya telah diambil untuk mengelakkan perkara ini berulang di masa hadapan.
  • Oleh itu, kita mesti mempersoalkan kenapa Tun Mahathir perlu mengulangi kenyataan awal beliau sedangkan penjelasan telah dibuat dan 1MDB juga telah membuat pengakuan berkenaan salah faham ini.
  • Berkenaan kenyataan Tun Mahathir mengenai Bank Negara Malaysia, hakikatnya adalah Bank Negara Malaysia ketika ini sedang menjalankan siasatan ke atas 1MDB.  Adalah lebih baik menunggu keputusan hasil siasatan ini daripada mencetuskan keraguan dan berkongsi perkara-perkara yang separa benar di luar sana.
     

4. Tun Mahathir mendakwa: “1MDB dan Perdana Menteri masih tidak menunjukkan bukti kewujudan wang daripada Cayman Islands.  Adakah ia berada di Singapura atau adakah USD1 bilion tersebut telah lesap?”

  • Daripada jawapan dalam soalan (2) di atas, adalah jelas bahawa daripada September 2012, 1MDB memiliki unit dana di dalam Dana Berdaftar Cayman melalui anak syarikatnya Brazen Sky, dengan nilai USD2.318 bilion setakat 31.03.2015.  Unit-unit dana ini dipegang melalui BSI Bank Singapore, yang bertindakan sebagai penjaga (custodian).  Ini merupakan aturan yang dibuat semenjak 2012.
  • Kewujudan USD2.318 bilion dalam unit dana tidak pernah dipersoalkan, dan nilai ini telah dimasukkan ke dalam penyata kewangan diaudit bertarikh 31.03.2014, yang perlu mencerminkan nilai yang sebenar dan wajar ke atas aset-aset syarikat.
  • Hakikatnya, tranche pertama bernilai USD1.22 bilion unit dana telah ditebus dengan tunai pada tahun 2014 dan wang ini digunakan untuk membuat pembayaran ke atas pembatalan saham berkenaan perniagaan tenaga, yang diberikan kepada Aabar, modal kerja dan bayaran faedah – seperti yang dinyatakan dalam akaun syarikat yang boleh diperolehi umum.   
  • Mengenai baki USD1.1 bilion unit dana pula, ia turut telah ditebus, seperti yang telah diumumkan oleh 1MDB sebelum ini.  Kesemua “bukti dokumentasi” berkenaan penebusan ini akan diberikan kepada juruaudit 1MDB dan pihak berkuasa yang berkenaan.
  • Walaupun penjelasan umum telah dibuat berulang-kali, Tun Mahathir masih memilih untuk bertanya soalan yang sama.  Kita mesti mempersoalkan motif beliau membuat kenyataan “USD1 bilion telah hilang” sedangkan sangat jelas bahawa dana-dana tersebut telah diambil kira (accounted for) dan telah diaudit.   
  • Selain itu, Tun Mahathir telah dipetik mengatakan bahawa “RM42 bilion hilang”. Kini beliau mengatakan “USD1 bilion hilang”. Perubahan angka-angka yang berterusan ini adalah membingungkan dan menimbulkan pelbagai persoalan tentang motivasi di sebalik dakwaan-dakwaan yang sentiasa berubah ini.

 

5. Tun Mahathir mendakwa: “Kenyataan tanpa sebarang bukti dokumentasi adalah, seperti yang kita lihat, tidak berguna. Kita perlukan bukti untuk kesemua pelaburan-pelaburan dan bayaran-bayaran yang telah dibuat oleh 1MDB. Tetapi tiada bukti yang ditunjukkan selain untuk pembelian stesen-stesen janakuasa dan pembelian tanah kerajaan di Kuala Lumpur serta tanah persendirian di Pulau Pinang. Sehingga bukti dokumentasi yang ditandatangani dan bukan hanya kenyataan-kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif atau Perdana Menteri ditunjukkan, kita perlu menganggap bahawa wang yang dipinjam oleh 1MDB telah lesap.”  

  • “Bukti dokumentasi” untuk kesemua aset-aset 1MDB, termasuk unit-unit pelaburan dan aset-aset kewangan lain telah diberikan kepada juruaudit-juruaudit 1MDB.  Berdasarkan perkara inilah akaun-akaun 1MDB telah ditandatangani oleh juruaudit tanpa sebarang pertikaian.   
  • Selanjutnya, “bukti dokumentasi” kini telah pun diberikan kepada Ketua Audit Negara dan Bank Negara Malaysia, iaitu pihak berkuasa yang sah, yang kami percaya akan meneliti dokumen-dokumen ini secara terperinci.      
  • Kita bernasib baik di Malaysia kerana mempunyai undang-undang yang menyatakan bahawa sesebuah pihak itu “tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah”. Proses yang wajar memerlukan pihak berkuasa yang berkenaan untuk memulakan siasatan, merungkai fakta dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.    

 

Perdana Menteri telah beberapa kali menyatakan bahawa jika terbukti terdapat sebarang kesalahan, tindakan akan diambil. 1MDB menyokong penuh kenyatan ini dan kini sedang memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh mereka.