| |
![]() |
|
Berbekalkan latihan vokasional dan semangat yang mendalam untuk kerja-kerja sosial, Site berasakan dirinya mampu membawa perubahan kepada masyarakat. Projek Kursus Usahawan, Kecantikan & Jahitan yang ingin dibawakan Site kedengaran seperti projek usahawan yang biasa dianjurkan, namun setelah diteliti, projek Site mampu membawa pembaharuan serta mengubah kehidupan banyak pihak. Niat murni yang dibawa benar-benar membuatkan kami ingin turut serta dalam projek ini. Menurut Site, tidak memadai jika hanya membekalkan golongan yang kurang berkemampuan dengan kemahiran-kemahiran baru. Mereka harus dibantu dengan peralatan yang sesuai dan diselia dengan bersistem sebaik sahaja mereka selesai menjalani kursus.
Site mempunyai impian untuk memperkasakan wanita-wanita muda yang kurang bernasib baik dengan menyediakan kursus asas dan kemahiran dalam bidang kecantikan dan jahitan. Beliau telah merangka satu kursus 3 bulan yang memfokuskan kepada golongan wanita yang kurang bernasib baik, ibu tunggal, serta golongan wanita lain bagi membolehkan mereka meningkatkan kualiti kehidupan serta peluang untuk mereka berdikari.
Kursus latihan ini adalah kesinambungan kepada seruan kerajaan dalam menyediakan tenaga kerja pakar di Malaysia. Ia memberi penekanan kepada para belia yang mempunyai minat dan kebolehan untuk turut serta demi memperbaiki kadar pendapatan dan taraf kehidupan mereka.
Para peserta kursus akan menduduki kursus selama 3 bulan yang merangkumi kelas teori dan praktikal. Para peserta ini kemudiannya akan dilatih oleh oleh golongan profesional secara percuma. Kemudian, peserta akan diselia dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan secara kendiri melalui kemahiran yang telah mereka perolehi.