Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Apakah itu Dana Belia 1Malaysia?

Dana Belia 1Malaysia merupakan sebuah dana berjumlah RM20 juta yang diperuntukkan oleh 1MDB bertujuan menyediakan platform untuk menggalakkan pembangunan dan perpaduan di kalangan belia di Malaysia


Apakah kategori-kategori yang diambilkira dalam kriteria pemilihan permohonan?

Kertas cadangan/proposal daripada pelbagai kategori adalah diterima selagi ianya menepati elemen-elemen belia dan perpaduan. Sebagai contoh:

  • Komuniti – Projek kampung angkat, projek bantuan golongan miskin dan pembaik-pulihan kawasan kejiranan
  • Alam Sekitar – Pembersihan/pemuliharaan tebing sungai, terumbu karang dan kempen hijau
  • Budaya, Seni dan Sukan – Pertandingan sukan seperti bola keranjang, marathon dan go-kart, pembikinan filem pendek, drama muzikal dan persembahan teater.
  • Latihan Kemahiran – Penganjuran bengkel perniagaan, latihan kemahiran, bengkel kewangan peribadi

Siapa yang layak memohon?

Permohonan terbuka kepada:

  • Individu (berusia 15-40 tahun)
  • Organisasi belia
  • NGO berdaftar yang menggalakkan pembangunan belia

Bagaimana saya boleh memohon?
Permohonan untuk Dana Belia 1Malaysia boleh dibuat dengan cara mengisi borang permohonan on-line di laman web 1MDB atau dengan menghantar permohonan secara pos. Untuk permohonan secara on-line, anda perlu mendaftarkan nama pengguna (username) dan kata laluan. Permohonan boleh dibuat dalam Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Malaysia.

Apa yang perlu saya lakukan untuk memohon?

Baca dan fahami objektif serta tujuan Dana Belia 1Malaysia

  • Pastikan profil dan kertas cadangan anda memenuhi criteria yang dinyatakan
  • Hantar permohonan dengan mengisi borang permohonan on-line, atau hantarkan permohonan secara pos ke alamat berikut:
    Dana Belia 1Malaysia
    Aras 8, Menara IMC,
    No 8 Jalan Sultan Ismail,
    50250 Kuala Lumpur, Malaysia.
  • Jika perlu, anda mungkin akan dipanggil untuk membuat penyampaian kertas cadangan kepada Panel Penilai
  • Kami akan hubungi anda jika permohonan anda berjaya

Bila saya boleh memohon?

Kami menerima permohonan sepanjang tempoh kempen dana ini.  Walau bagaimanapun, pemilihan penerima dana hanya akan dibuat pada setiap suku tahun.


Berapakah jumlah maksimum permohonan dana yang boleh dipohon?

Tiada jumlah maksimum dikenakan kepada setiap permohonan. Dana Belia 1Malaysia bertujuan mencari dan menaja idea-idea yang terbaik. Walau bagaimanapun, untuk membantu kami membuat penilaian keperluan perbelanjaan anda, pastikan anda membuat justifikasi bagi jumlah penajaan yang dipohon. Anda juga harus menyertakan analisis kos-faedah serta rasional yang kukuh untuk permohonan yang dihantar.


Bagaimanakah saya harus menjustifikasikan permohonan untuk dana?

Jumlah dana yang dipohon haruslah dijustifikasi dengan menerangkan secara jelas bagaimana dana dibelanjakan, contohnya peruntukan untuk peralatan, sewa, makanan, pembayaran gaji dll. Amat penting untuk pemohon memberikan perincian yang jelas untuk kami membuat penilaian sama ada jumlah dana yang dipohon bertepatan dengan  projek yang dicadangkan.


Apakah yang dimaksudkan dengan Analisis Kos-Faedah?

Analisis kos-faedah adalah huraian terperinci yang menerangkan penggunaan/perbelanjaan dana serta faedah (hasil dapatan) yang diperolehi dalam sesuatu tempoh/jangka masa. Ianya bertujuan untuk membuat penilaian sama ada faedah daripada projek cadangan  melangkaui jumlah perbelanjaan. Sekurang-kurangnya, pecahan perbelanjaan keseluruhan projek dan faedah yang diraih hasil daripada pelaksanaan projek perlu diterangkan.
 
Kami menyasarkan projek-projek yang melibatkang golongan belia untuk bertindak dan sama-sama memberikan impak kepada komuniti. Kami juga ingin membantu menyokong projek-projek yang memberikan nilai kepada perbelanjaan kos.


Berapa lamakah tempoh permohonan?

Para pemohon dinasihatkan untuk menghantar permohonan secepat mungkin kerana beberapa proses penilaian akan dilakukan sebelum keputusan akhir dibuat. Tempoh penilaian juga mungkin akan dilanjutkan bergantung kepada jumlah permohonan yang diterima. Sesi penajaan akan dibuat pada setiap tiga bulan.

Jika keputusan akhir dicapai sebelum tempoh yang ditetapkan, kami akan mengumumkannya di laman Facebook dan Twitter. Para pemohon boleh menyemak status permohonan dengan cara log-in masuk ke laman 1MDB.Kami akan mengemaskini laman tersebut apabila keputusan dicapai.

Jika diterima, adakah saya perlu membuat bayaran balik bagi penajaan yang diterima untuk projek saya?

Tidak. Anda tidak perlu membuat bayaran balik untuk dana yang dipohon. Walau bagaimanapun, salah satu kriteria wajib bagi setiap permohonan ialah projek yang dicadangkan harus member manfaat kepada orang ramai serta mampu membawa perubahan positif kepada komuniti yang disasarkan. 

Dana yang diperuntukkan diberi secara berperingkat ataupun sekaligus, bergantung kepada keperluan projek individu. Dana haruslah digunakan sepenuhnya  dalam jangkamasa pelaksanaan projek, sepertimana yang dicadangkan oleh pemohon.


Apakah projek-projek yang tidak akan diterima untuk permohonan dana?

Dana kewangan dari Dana Belia 1Malaysia tidak boleh digunakan untuk:

  • Aktiviti kutipan derma/meraih dana
  • Untuk kepentingan peribadi pemohon
  • Aktiviti-aktiviti bersifat politik

Bolehkah saya memohon Dana Belia untuk tujuan perniagaan?

Kami menerima permohonan bertujuan perniagaan, asalkan ianya perniagaan yang membawa perubahan. Dana Belia 1Malaysia adalah sebuah dana untuk perkembangan belia dan perpaduan, dan bukan untuk keuntungan individu ataupun syarikat semata-mata. Perniagaan anda hendaklah mendatangkan manfaat yang tinggi kepada komuniti yang disasarkan / komuniti sasaran, dan mesti berupaya untuk meningkatkan semangat para belia bagi sama-sama menyumbang tenaga, melangkaui proses pengambilan pekerja.

Bagaimanakah saya boleh menyemak status permohonan?

Pemohon boleh menyemak status permohonan masing-masing melaui laman web 1MDB menggunakan ID serta kata laluan yang telah diberi atau dengan menghubungi kami secara bertulis di alamat seperti di atas atau emel ke danabelia@1mdb.com.my

Berikut adalah kemungkinan status permohonan anda:

  • Accepted / Diterima
    Tahniah! Permohonan anda berjaya.
     
  • Rejected / Ditolak
    Permohonan anda tidak berjaya.
     
  • Under Consideration / Dalam Pertimbangan
    Permohonan anda dalam peringkat penilaian
     
  • KIV
    Permohonan anda telah melalui beberapa peringkat saringan. Walaubagaimanapun, panel penilai masih belum mencapai kata putus. Penilaian berasingan akan diadakan untuk menilai semula permohonan anda sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Bolehkah saya mengubah permohonan yang dihantar secara on-line?

Tidak. Setiap permohonan yang dihantar adalah dianggap muktamad. Sila pastikan semua maklumat adalah tepat sebelum menghantar permohonan.


 Jika saya dipanggil untuk membuat pembentangan, apa yang perlu saya lakukan?

 Para pemohon yang dipanggil untuk membuat pembentangan perlu menerangkan  idea-idea mereka dihadapan Panel Penilai.


Apakah yang perlu saya hantar bagi tujuan semakan dan pemantauan?

Jika permohonan anda diluluskan, anda perlu menghantar laporan status secara bulanan berkenaan projek tersebut berserta dengan laporan kewangan kepada kami. Sebaik sahaja projek tersebut tamat, and juga perlu menghantar laporan prestasi dan laporan kewangan yang lengkap.


Bolehkah saya membuat permohonan semula jika permohonan awal tidak berjaya?

Kami tidak akan mempertimbangkan semula permohonan yang telah ditolak. Walau bagaimanapun, pemohon dialu-alukan untuk menghantar permohonan untuk projek yang baharu.


Jika saya mempunyai sebarang pertanyaan, siapakah yang perlu saya rujuk?

Untuk sebarang pertanyaan tentang Dana Belia 1Malaysia, anda boleh menghantar e-mel ke danabelia@1mdb.com.my atau menulis kepada:

Dana Belia 1Malaysia
Aras 8, Menara IMC,
No 8 Jalan Sultan Ismail,
50250 Kuala Lumpur, Malaysia.